Kerana Engkau

Kerinduanku
Aku cuba untuk tidak menangis lagi
Aku ingin menjadi kuat
Kuat jiwaku; kuat hatiku
Tetapi sesungguhnya aku gagal
Aku gagal untuk mengendalikan jiwa dan hatiku
Aku kecundang untuk memujuk agar tidak bersedih dan mengenang masa lalu
Lantas aku tewas dalam airmata penuh hiba

Kerinduanku
Alangkah payahnya menjadi aku
Ke mana sahaja aku pergi dan berada
Bayanganmu tidak pernah hilang walau sesaat
Sentiasa ada di sisi
Di belakang; di hadapan
Dan; lalu singgah di dalam hatiku
Lalu bagaimana aku harus melupakanmu?

Kerinduanku
Peritnya jiwa teringat kisah cinta kita yang ditinggalkan
Kejamnya hati teringat sentiasa tentang cinta kita
Tentang hajat
Tentang impian
Tentang angan angan
Saat indah menyusun mimpi
Lalu impian kita tidak kesampaian

Kerinduanku
Aku menjadi nanar untuk kesekian kalinya
Rupanya tidak semua mimpi dan impian jadi nyata
Tidak semua angan jadi realiti
Ada jiwa yang terluka dan robek
Punah impian dua keluarga lalu kecewa
Alangkah kejamnya saat aku meninggalkanmu
Alasan apa yang aku tinggalkan untukmu?
Langsung ketika itu mengapa aku tidak menoleh semula kepadamu?
Pedihnya hidupmu menanggung sengsara ditinggalkan
Sedangkan aku sebaliknya

Duhai kerinduanku
Kini segala kesakitan yang engkau tanggung dahulu
Aku yang terasa
Alangkah sakitnya mencari hatimu semula
Engkau tahu;
Di sepanjang hidup ini aku ingin mencari dan menagih kasihmu
Agar ada sedikit simpatimu menerima maafku
Tetapi engkau langsung tidak memandangku

Wahai kerinduanku
Mengapa aku tidak mencarimu semula di ketika itu?
Kekasihku;
Hingga ke nafas terakhir pun aku masih tidak punya jawapan
Mengapa dan kenapa aku meninggalkan engkau
Dan;
Engkau juga mengapa tidak memegang tanganku?
Untuk berada dalam dakapanmu
Lalu kenapa membiarkan aku begitu sahaja?

Aduhai kerinduanku
Aku sendirian tanpa sesiapa saat itu
Aku lalui kehidupan penuh kesunyian
Aku redah masa dengan rasa kesepian
Aku berlari mencari sesuatu
Mencari engkau; di hadapanku di belakangku
Jika kiranya engkau melambaiku
Tapi aku hampa;
Tiada apa yang kutemui selain pandangan kosong
Dan engkau jauh aku tinggalkan
Lalu; aku sendirian untuk kesekian kalinya

Kerinduanku
Engkau tahu... pedih laluan hidupku
Aku terjah waktu waktuku dengan kerinduan yang tidak pernah sudah
Ku jejaki engkau di serata alam
Engkau terus menyepi dari diriku
Lama aku mencarimu
Ku intai setiap jejakmu
Akhirnya engkau kutemui
Setelah aku dan engkau ada pilihan sendiri
Lalu...
Bagaimana dengan kita?

Kerinduanku...
Izinkan aku menyentuh hatimu semula
Memohon kemaafan...
Sesungguhnya di kelonsong hatiku
Engkau masih ada dan kukuh dalam dalam



27 December 2017
13:00
Gombak
#sza

Comments

Popular posts from this blog

Hari Lahir - 10 April 2010

Dan, Ketika Sunyi Itu Bertapak Di Hati